07 November 2010

Berehat Panjang.

Musim hujan sekarang ini memberi banyak ruang kepada kaki burung merehatkan pikat masing-masing. Masa ini digunakan untuk melatih burung baru. Musim-musim hujan sebegini  adalah masa yang agak sesuai untuk mengajar pikat baru maklumlah kekadang hujan turun waktu pagi, kekadang turun waktu petang. BH juga kesejukan dan tidak mahu berlawan.
Petang semalam 7.11.2010 aku juga mengambil kesempatan untuk melatih pikat baru. Ada la bunyi sepatah dua. Kira ok laa tu. Masih baru, hujan pula.... Aku bersama Otai Pak Ya ke Felda Papulut. Tujuan untuk mencari lokasi baru dan mengajar pikat baru. Ternyata tidak sia-sia, tiga lokasi baru memikat ketitir ditemui. Bersuara dan berderak kasar cukup memikat. Mungkin lepas musim hujan ini lokasi ini akan menjadi tumpuan kami pula.
Jebak dan angga perlu disiapkan segera. Kelmarin seorang kawan dari selama mengkhabarkan tentang tren baru membuat angga.... tunggulah penampilan akan datang bagaiaman bentuk dan bahan untuk menghasilkan angga baru yang dapat menjinakkan BH yang sukar dijaring.



Bakal menjadi pemikatku yang menggegarkan penjuru alam....haa..haa.. ekornya..plaknya...matanya...paruhnya....kakinya..sisik depan dan belakanganya...suaranya..deraknya..siapa yang ahli bila mendengar pasti memukau....

Kayu angga ini telah berjasa besar mengundang ratusan ekor BH memijaknya. Terselit dihujungnya tanduk kerbau balar. Bentuknya yang melengkung itu cukup memikat BH untuk singgah sebentar...haa..haa...

03 November 2010

Seberang Sungai Perak

Aku diajak Wan ke seberang Sungai Perak. Banyak Jambul bersuara kasar bermain di sana. Jambulnya pun cukup lawa. Oleh kerana ajakannya yang bertalu-talu aku pun pada hari Khamis lepas terus aja memenuhi undangannya. Pukul 2.30 petang aku bertolak ke rumahnya di Kampung Perah.Walaupun langit telah kelihatan mendung namun.. hajat hati diteruskan jua. Aku dan Wan menaiki sampan untuk ke seberang Sungai Perak...Walupun jarang menaiki bot nelayan sungai ini aku gagahi juga demi melihat kelibat jambul kampung yang hebat seperti yang dikhabarkan itu...


Belum pun sampai ke tempat yang dituju..hujan telah turun dengan lebatnya. Bot tidak berbumbung.. aku dan Wan kebasahan...30 minit dalam perjalanan meredah hujan dan arus sungai Perak.. kami sampai di tempat yang dituju. Sampan dilabuhkan... hujan masih turun....kami naik ke tebing.. tidak jauh dari tebing... lokasi permainan jambul yang dikhabarkan. Aku dan Wan terus sahaj ke sana... hujan masih turun dengan lebat... aku memotong daun pisang hutan  untuk dijadikan payung sementara menunggu hujan teduh.

Hampir 20 minit hujan turun akhirnya reda dan berhenti... aku segera menyangkut jambulku di sebatang dahan pokok dokong lebih kurang 6 kaki tingginya.... jambutku terus memanggil.... itulah jambut Bukit Kelian yang aku dapat di sana....

Sebentar sahaja jambul menggulung di dahan dokong... kelihatan BH melayang di pucuk pisang hutan tidak jauh dari situ.. Jambulku terus menerus memanggil... BH menyahut... tapi.. tak ada rezeki....tak sempat jambulku melawan hujan turun lebat sekali lagi... aku pun tanpa fikir panjang...kelibat jambulnya dah dilihat, suaranya dah didengar walupun smar-samar... aku puas. Aku ajak Wan balik.....kami pun balik....hai jambul.... nanti ku datang lagi.....

02 November 2010

Pikat Baruku

Beberapa hari lalu.. aku mengajar pikat baru di belakang rumahku. sambil melakukan serba sedikit kerja yang ada. Pikat baru pun tak kurang hebatnya.... meratuh dan berderak. Seekor BH kelihatan menghampiri pikat. Pikat baruku berderak dan menggelengkan kepalanya.... "dah boleh masuk gelanggang besar ni..." bisikku.
Sebentar kemudian BH kelihatan menerpa ke angga.... pikat berderak....BH berderak... pikat lepaskan qua tandang... aku memerhati dari jauh... terhenti sebentar dari kerjaku bila pikat lepaskan qua tandang... kembang hatiku... dah mula tunjukkan kehebatannya.... BH terjun ke angga.... apa lagi....masuk jaring juga dia.... tapi BH tidak mengancam.... jadi aku lepaskan semual ia....

Penaskan Pikat

Agak lama aku ridak turun memikat. Kesibukan dan kesihatan tidak mengizinkan. namun jika terluang aku akan turun jiga ke gelanggang berhampiran. Yang penting dapat menghilangkan kerinduan dengan duara BH berhadapan dengan Pikatku. Untuk manaskan pikat aku merayau-rayau mencari lekasi yang berdekatan. Malahan pula teman-teman pemikat sekarang tengah sibuk mengisi masa dengan kerja mereka. Maklumlah harga getah menceah RM 7.00 sekg. Apa lagi ditunggu. Nampaknya berlipat kali gandalah fulusnya.


hari minggu yang lalu aku ke Kula Rui sambil merayau-rayau mencari gu yang agak garang. Aku teringat pokok jambu rendang berhampiran dengan padang sekolah. Hari yang baik... aku terus ke sana. BH tidak kedengaran kerana masing-masing di atas padang mengutip makanan... aku pasang pikat. Beberapa mini kemudian Pikat aku terus berkerja seperti biasa. Seekor BH kedengaran menyahutnya dari jauh di hujung padang. Beberapa minit kemudian kedengaran BH semakin banyak meratuh disana -sini. Semakin lama semakin hampir denga  pikatku. Tak lama kemudian kedengaran derakan bersilih ganti... dan... pikat melepaskan quanya bertalu-talu.. tanda BH sudah mengena. Aku bingkas bangun dan menuju ke pokok jambu. BH tidaklah kasar... tapi banyak deraknya..Ku turunkan pikat dan BH .. terus bailk... cukuplah untuk panaskan pikat sahaja...


06 Oktober 2010

Sekitar Pekan Gerik.

Hari ini 2.10.2010 aku bersendirian di rumah. Otai Pak Ya teman pemikat sibuk kerana masim kemarau. Sayang nak tinggalkan pokok getah. Mencari rezeki untuk keluarga adalah keutamaan. Walaupun mempunyai bayaran pencen bulanan tetapi tidak mencukupi dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu. Setiap hari keresahan dikalangan ketua keluarga semakin membarah. Perbelanjaan keluarga semakin meningkat dengan kenaikkan harga barang yang telah berlaku dan kenaikan harga baru yang diwar-warkan di serata ceruk dan meja kedai kopi bakal berlaku tidak lama lagi. Tanggungjawab kepada keluarga adalah keutamaan dari segalanya. Pun begitu dalam keresahan dan tekanan hidup seumpama ini dalam kalangan setiap ahli masyarakat aku kira peminat pemikat burung seperti aku dan beberapa rakan yang lain adalah dikira beruntung. Untuk menguruskan tekanan hidup dalam dunia moden hari ini adalah sesuatu yang sukar. Ada yang mengalami kemurungan yang kronik, ada yang tersalah memilih jalan untuk mengatasi kebosanan dan keresahan mereka. Bagi pemikat seperti kami, masalah dalam kehidupan adalah suatu yang lumrah. Difikirkan sampai nak pecah kepalapun belum tentu ia dapat diselesaikan. Bak kata ahli psikologi meden ini proses pemeraman itu sangat penting dalam menyelesaikan segala kekalutan. 
   Memikat burung adalah satu dari aktiviti yang dapat membantu kita memeramkan masalah yang dihadapi. Kekadang jalan keluar dari segala kekalutan iti datang dalam renungan sejenak cuma. Jadi apa perlu kita membebankan diri memikirkan segala masalah sehinggakan mengganggu seluruh perjalanan hidup kita ini..... wah cerita panjang lak....
Hari ini aku sendiri sahaja.... jadi aku mengambil keputusan untuk ke Kuala Rui antara tempat pilihan ramai pemikat kerana di kawasan ini BHnya punya kelebihan sendiri untuk menjadi pemikat. Kebanyakkan BH yang aku perolehi cepat menjadi pikat dan baik-baik pula. Seekor BH yang bermaharajalela di sekitar SJKC sangat mengujarkan aku. Pagi ini aku memilih angga di tepi jalan berhampiran pagar sekolah.
Seperti biasa pemikatku tidak pernah memalukan tuannya. Naik saja tiangku dia terus berkerja. Meratuh dan berderak memanggil BH yang kuidamkan. Namun Bh itu hanya berlegar dari dahan ke dahan pokok durian di dalam kawasan rumah seorang penduduk berbangsa cina yang berhampiran. Hampir dua jam aku tunggu namun BH tidak juga hampir.

Aku mengambil keputusan untuk memindahkan pikatku ke pokok yang lain pula. Aku memilih sepohon pokok teja di hadapan sekolah itu. Tidak lama... beberapa minit sahaja pikat ku di naikkan dia terus berkerja seperti biasa.   BH pun tak tunggu lama tapi bukan BH yang ku idamkan. Beberapa minit kemudian kudengar pikat berderak bersilih ganti dengan BH. Aku tidak dapat melihatnya kerana jebakku tersorok dalam rimbunan daun teja yang lebat itu. Sebentar kemudia kedengaran pikatku melepaskan qua beberapa kali menandakan BH dah masuk jaring. Aku bergegas untuk menurunkannya.

Setelah pikatku kuturnkan dan BH masuk karung aku memilih angga sepohon pokok durian di seberang jalan di hadapan sekolah. Aku naikkan pikat. Seperti biasa pikatku terus berkerja. Beberapa minit kemudian kelihatan seekor BH bersuara kasar dan berderak kasar masuk ke pokok durian itu. Beberapa kali pikatku berderak bersilih ganti dengan BH akhirnya kulihat BH terjun ke atas angga tapi sayang.... penamparku tersangkut. Setelah menyedari rampung jebakku BH terus melompat keluar. Berderak beberapa kali... selepas tiu terus menghilangkan diri. Aku menepuk kepada kerna kesilapan sendiri. Beberapa mini kemudian aku mengambil keputusan untu beredar balik. Seekor aja yangberjaya ku bawa pulang hari ini. 

3.10.2010 Ahad aku tidak ke mana. Terasa bosan juag bila melepak kan rumah.Malam semalam rentap ping pong dengan Otai Pak Ya, Tuan Rasyid dan En Hamdi hingga kul 1.00 pagi. Lepas subuh aku pusing-pusing keliling rumah sambil melihat pemikatku dan burung baru kat dalam kandang. Makan ke tak dia. Tapi tak apa, ada pengasuhnya kat dalam. Kalau tak ada pengasuh susah juga nak beri makan burung baru ni. maklumlah baru katakan. Belum kenal sambau lagi. Teringat aku peningnya kepala En Din pegawai perikanan kat Banding tu masa aku lawat tempat pembiakan ikan di Hulu Perak ni. Nak bela induk baru ikan temoleh, kelah, sebarau dan lain-lain lagi yang baru ditangkap bukanlah satu perkara yang mudah. dah beberapa kali ditangkap dan dipelihara dalam kolam ternaknya akhirnya mati kerana tak mahu makan. Ikan pun tak mahu makan oiii. Akhirnya secara tak sengaja dia termasuk ikan lampam dalam kolam ikan baru tu. Rupanya ikan lampam ni memang buruk melantaknya kata orang Gerik. Asal letak benda makan aja dia sebat sampai habis. Akhirnya jadilah dia ikan pengasuhnya. Bolehlah ikan temoleh yang besar besar tu belajar makan. lega rasanya... panjang lak...
Aku pun ambil galah dan alat yang biasa aku bawa dan capai pemikatku. Aku terus ke belakang dewan persidangan yang tersergam indah yang tidak jauh dari rumahku ini. Aku biasanya jarang memikat di kawasan ini kerna berasa kurang enak dengan orang-orang Gerik yang aku kenal. Maklum lah hobi seperti ini agak kurang disenangi mereka yang biasanya tidak menyelidik dan mengaji tentang hukumnya. Apa yang dipegang adalah berpandukan akal semata-mata. Tak merujuk golongan pakar agamapun. Harap-harap pegangan mereka itu tidaklah jadi satu dari pegangan dalam agama mereka. Jika itu menjadi sabahagian dari agama mereka... bimbang aku akan duduk letaknya...

Aku memilih angga terbang berhampiran rumah Tuan Pegawai Daerah. Bimbang juga jika ada orang.... tapi setelah memerhati sekeliling memang kawasan itu tersorot. Macam biasa pikatku terus berkerja. Tak beberapa lama kemudian  kedengaran riuh rendah BH meratuh di atas rimbunan pokok-pokok di sekitar dewan itu. Banyaknya BH di kawan ini. Tak beberapa lama kemudian kelihatan BH meniti dawai pagar rumah Tuan Pegawai Daerah. Aku terpegun kerana kelihatan BH berlaga sesama sendiri. Masing masing dengan qua dan berderak. Pikatku juga tidak kurang garangnya. Sebentar kemudian ku lihat seekor BH berharapa denga pikatku. Pukat berderak... BH berderak... sebetar kemudian ... pelepapppp BH terjun ke jebak.... aku cepat mengeluarkan karung dan menurunkan jebak.
Ku pasang semula pikat di atas dahan sepohon pokok yang tidak jauh dari situ. Sebentar kemudian pikatku seperti biasa meneruskan kerjanya. Kelihatan seekor BH memasuki pokok itu. Pikat berderak... BH berderak.... pelepapppp kena lagi.... dah dua ekor masuk karung.



Belakang Dewan Persidangan Gerik.
Setelah dua ekor ku jaring aku mengambil keputusan untuk berpindah tempat. Aku ke hujung padang Lapangan Terbang Gerik. Aku memilih dahan pokok yang pernah ku letakkan pikatku beberapa minggu yang lalu. Seperti biasa rupanya angga itu memang menjadi. Tidak beberapa lama kemudian pikatku terus berkerja. Kedengaran BH meratuh agak jauh di hujung padang sebelah. Aku menunggu... pikat terus memanggil.. tak lama selepas itu.. BH meluru masuk ke pokok itu. Pikat berderak... BH juga berderak. Beberapa mini kemudian.. pikatku qua beberapa kali... menandakan BH sudah masuk jaring. Aku segera menurunkannya... dah tiga ekor.. jadilah.... aku pun balik ke rumah..... cukup untuk hari ini.

27 September 2010

Lapangan Terbang Gerik

Lokasi: Lapangan Terbang Gerik.Berhadapan dengan Kem 304 Gerik.
Tarikh : 25.09.2010
Catatan: Lokasi yang sering menjadi tumpuan pemikat dari luar. BH cukup sukar nak masuk perangkap. Mungkin sebab sudah kenal jebak. Walau pun begitu peluang masih ada tetapi perlukan kesabaran. BH ini berjaya dijaring juga setelah menunggu dari pukul 8.00 pagi. hingga 11.30 pagi. Cukup mencabar.

23 September 2010

Bongor



Dah agak lama cuti. Pikat lak makin mendiamkan diri.Agaknya dia pun dah lama bosan sebab tak dapat lawan. Sabtu 17.09.2010 kawan lama otai ketitir Maani dari Kg Perah Gerik datang ke rumah. Banyak cerita yang dibawanya. Yang menyedihkan beberapa ekor pikatnya yang hebat telah mati. Ada yang dibaham dek kucing dan ada disambar burung malam. Kesian dia. Cerita-punya cerita Maani akhirnya mengajak aku dan Otai Pak Ya ke Kg Bongor. Ada yang hebat memburu lawan. Suara kasar, deraknya juga kasar. Dengar aja aku dan Otak Pakya dan tak boleh diam. Berkobar-kobar kami nak ke sana.

18.9.2010 aku dan Otai Pak Ya ke Bongor. Kami pergi agak lewat.. 9.30 pg baru bertolak. Sampai di hentian Perah kami singgah mengambil Otai Maani kerana dia tunggu di sana.
Maani terus membawa kami ke lokasi yang diceritakan.... pperkuburan Kg Bongor. Suasana sepi sahaja semasa kami tiba. Dalam hatiku tertanya-tanya... mungkin ada lagi kah BH tu .
Otai Pak Ya terus memasang pikat.Aku masih mengintai pokok mana yang sesuai. Otai Pakya Dan Maani siap memasang pikat mereka. Aku mencapai galah lalu memasang pikatku. Kedengaran pikat Otai dan Maani mula berkerja.Kedengaran BH menyahut panggilan di merata-rata tempat. Banyak BH di sini.
     Aku memilih sepohon pokok sentang mati untuk memasang pikatku. Tak banyak dahannya.Sebentar kemudian pikat mula berkerja. BH juga mula meratuh merata-rata tempat. Tak beberapa lama kemudian kedengaran BH yang disasarkan meratuh tidak jauh dari pikatku.Suaranya... memang kasar gileer. Deraknya juga kasar... pikat terus berkerja. BH singgah di angga yang diharapkan. Berderak dan menggelengkan kepalanya. Pikat juga berderak memusing musing di dalam jebak. marahnya dia.... BH terus berderak berselang seli dengan meratuh. Pikat berderak. Sesekali kedengaran melepaskan tandangnya. Namun BH tidak juga mahu terjun... 40 minit berlalu.BH masih mudar mandir meniti dahan mati di hadapan pikat namun tak juga mahu terjun. Akhirnya aku dah mula hilang sabar. Aku terus sahaja memnurunkan pikat dan pindah ke pokok lain. Setelah aku amat-amati akhirnya aku memilih sebatang pikok getah di tengah-tengah kebun yang jauh dari BH tadi. Aku mengharapkan Bh bersuara sederhana akan terjun kali ni kerana deraknya hebat juga. Otai Pak Ya dan Maani memerhati sahaj gelagatku. Mereka dah faham dengan perangaiku kalau BH tak mahu terjun.
Sebentar kemudian Pikat mula berkerja. BH bersuara sederhana terbang menghampiri pikatku.. Berderak dan meniti dahan ke daha. BH bersuara kasar mula terbang menghampiri pokok getah. Ku fikir pasti BH tu tak mau masuk ke sana keran bukan lokasinya. Beberapa minit kemudian Otai Pak Ya memberitahu yang BH bersuara kasar terbang ke arah pikat. BH sederhana masih berderak. Kedengaran BH bersuara kasar berderak berhampiran pikat. Pikat lepaskan tandang ..... BH terus terjun dan.... pelepappppp penampar jatuh. BH terperangkap. Aku segera mencapai uncang untuk mengisinya.. Aku hampiri pokok getah itu kelihatan seekor lagi BH berada di hadapan pikat swedangkan seekor dah mengena.
Aku tak tahu mana yang mengena. Kasar ka sederhana.


Ku masukkan BH ke dalam uncang dan memindahkan pikat ke pokok lain tidak jauh dari pokok tadi. Tak lama selepas itu pikat mula berkerja. BH tidak kedengaran. Sunyi sepi. Pikat terus berkerja... tak lama kemudidan BH mula menyahut cabaran pikat. BH kasar tidak kedengaran meratuh ditempatnya. 30 minit berlalu BH kasar masih juga tidak muncul. Pikat terus berkerja... Bh tidak ada yang berani hampir. Pikat Otai dan Maani masih meratuh. Tiada BH yang hampir. Akhirnya Otai Pak Ya bersuara... BH kasartu dah masuk uncang dah. Aku masih tak percaya  sebab tidak dengar dia menghadap pikat. Maani juga menyokong otai... BH tu dah mengena. Akhirnya aku pun yakin itulah BH yang di sasarkan.... Aku hulurkan BH tu kepada Maani untuk dia pelihara. Tapi... dia tidak mahu. BH tu memang cantik. walaupun badannya taklah besar sangat seperti BH yang biasa aku dapat tetapi suara dan deraknya memang gileer dibuatnya.
Setelah pasti BH yang disasarkan itu dah mengena.. kami pun beredar  walaupun hanya seekor yang diperolehi hari ini.

Selamat Hari Raya.

Aku mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat hari raya aidilfitri kepada semua tetamu walaupun agak terlewat. Dah beberapa minggu cuti. Pikat dah makin kesejukan. Sekali sekala sahaja kedengaran meratuh kat dalam sarangnya. BH yang selalu main keliling rumah tak nampak kelibatnya. Mungkin musim bersarang dan bertelur sekarang ni agaknya.
Kelmarin habis burung baru dijaring sepanjang ramadhan dibaham dek si tedung hitam.Dahlah dibahamnya titirku yang cantik-cantiktu.. lepastu taknak keluarlak. Nak aku hentak dia kesian lak raya-rayani. Nak tak nak terpaksalah panggil ahli bomba untuk tangkap dan buang dia jauh-jauh. Nak tangkap sendiri memang aku tak berani.Nasib baiklah pegawai bomba kat gerik ni baik-baik belaka. Datang juga tolong tangkap si hitam durjana itu walaupun cuti raya masih terasa.

30 Ogos 2010

29.8.2010.. Aku bersama Otai Pak Ya ke Padang Grus, Lenggong. 8.30 pagi kami sampai di sana.Beberapa laman menjadi pilihan kami.Setelah berbincang kami akhirnya ke hujung perkampunag Cina Padang Grus. Kalau zaman dahulu sebut aja Padang Grus sudah pasti rata-rata orang Melayu Gerik dan seluruh Negeri Perak akan kecut perut. Bukan sahaja memasukinya, malah melaluinya pun sudah membuatkan mereka kecut perut. Ini adalah antara kawana hitam yang digeruni. Tapi kini sudah 53 tahun negara kita merdeka. Zaman Bintang Tiga telah berlalu. Suasana aman dan damai meskipun penduduknya terdiri dari masyarakat cina dari dahulu hingga kini. 
Padang Grus adalah antara lokasi yang bagus bagi pemikat samada tekukur ataupun merbuk. Di sini banyak BH yang berkeliaran dan agak jinak jika nak dibandingkan kawasan-kawasan lain.
Sampai sahaja di laman yang kami pilih itu, kami disambut dengan bunyi BH yang agak ganjil. Lain dari yang lain.Ku lihat kelibatnya di atas pokok petai tidak jauh dari tempat kami berhenti. Otai terus capai tiang dan memasang pikatnya. Aku memberi laluan kepadanya untuk cuba mendapatkan BH itu.
    Otai terus menuju ke pokok petai itu dan menaikkan pikatnya. Aku memilih angga sebatang pokok durian muda tidak jauh dari tempat kami berhenti.Pikat Otai terus berkerja. Pikatku juga berkerja.
Beberapa minit kemudian kelihatan BH yang disasarkan masuk ke gelanggang.. pokok petai.... pikat ku terus berkerja... tak lama kemudian... seekor BH masuk ke gelanggangku. Berderak dan menggelengkan kepalanya. Pikatku terus berderak. BH meratuh dan berderak. Pikatku terus berderak. Itulah perangainya jika BH dah hampir. BH memusing-musing meniti dahan sambil berderak. Pikat ters berderak. BH meniti dahan lagi. Tiga ekor BH lain masuk gelanggang. BH yang mula terus mengejar seekor demi seekor. Tapi BH yang baru masuk tak mahu pergi jauh.... melompat ke dahan lain sahaja... aku mula perasan jebakku ditempat yang tidak sesui. Oleh sebabtu BH tak juga terjun...... aku terus sahaja menuju ke pokok durian tersebut. Aku ubah kedudukan jebak. Inilah caranya jika bermain ketitir. Jika silap pilih tempat BH tak mahu turjun walaupun berjam kita tunggu. BH bertempiaran terbang bila menyedari aku semakin hampir dengan pokok durian itu.
Ku ubah jebakku di dahan yang lebih terbuka dan sesuai.... sebentar kemudian pikatku mula berkerja... BH masuk semula. Sedang asyik aku memerhati BH yang dengan garangnya menggelengkan kepalanya...meniti dahan... kedengaran teriakan Otai..Pikatnya dah mengena. Burung yang disasarkan masuk jaring. Otai gelak macam biasa tanda kepuasan yang tak dapat digambarkan bila BH yang disasarkan masuk jaring.
Pikatku terus berderak seketika... BH berderak sambil menggelengkan kepalanya. Pikatku terus berderak... lepaskan qua tandangnya.... BH nyata tidak tertahan... terus terjun ke angga..... pelepapppp.... dahan durian kecil yang ku pilih bergoyang..... BH dan masuk jaring.... beberapa minit sahaja dah mengena.... ha..ha....

BH yang garang akhirnya tersungkur juga.




Setelah BH kumasukkan ke karung.... Otai ajak gerak ke laman ke dua. Aku ikut sahaja.... Kami terus bergerak ke SJKC Padang Grus. Banyak BH sedang meratuh di atas pokok. Otai dengan pantas memasang pikatnya. Aku juga... memilih pokok durian kegemaranku yang kebetulan ada di hadapan kawasan sekolah itu. Setelah pikat dinaikkan... aku meninjau ke kawasan sekolah. Berpagar .. tak boleh nak masuk. Pikat berkerja terus tapi BH tidak mahu hampir. Aku meninjau ke dalam kawasan sekolah.. tiba-tiba pengawal keselamatan sekolah keluar dari pondoknya. Aku minta nak masuk tahan BH di kawasan sekolah.Banyak BH kedengaran meratuh di atas pokok kipas sumatera di hujung padang. Ia benarkan... aku terus bawa pikat masuk ke kawasan sekolah. Pokok Kipas Sumatera jadi pilihanku. Ku naikkan pikat di sebatang dahan yang agak sesuai... pikat macam biasa terus berkerja..... dan kerja.... BH kedengaran melawan dari jauh sahaja... 1 jam berlalu... aku dah ubah angga sebanyak 3 kali di pokok yang berhampiran.... namun tak juga BH menjengok.Sementara itu BH dah berhadapan dengan pikat Otai... dah lama .. hampir 30 minit tapi tidak juga mahu terjun....
Akhirnya aku mengubah pikat ku ke sebatang pikok saga yang tinggi... di hadapan sekolah itu.... Seekor BH memang kedengaran... suara kasar... keraknya juga kasar... Itulah yang dicari...
5 minit pikat berkerja.. akhirnya BH yang disasarkan turun mencari pikat... meniti dari dahan ke dahan.. pikat terus sahaja berkerja tanpa jemu memujuk dan mencabar... akhirnya.... BH terjun juga ke jebak yang dipasang....aku berasa puas kerana BH itu bakal aku jadikan pikat kerana suara dan deraknya amat mencuit hatiku..................


BH bersuara kasar dan berderak kasar mengena...

Otai akhirnya berputus asa... turunkan pikat bila aku dah menjaring... kami terus bergerak ke Kg Sawa... laman yang sangat aku gemari untuk meninjau BH dalam perjalanan balik ke Gerik.. Dah banyak BH yang aku jaring di laman ini.BH di laman ini baik-baik belaka...garangnya...deraknya...rajinnya...uhhh memang lokasi yang cukup bagus untuk mencari pelapis......
Tak lama kami di Kg Sawa... kami teus sahaja pulang... bulan puasa ni... eloklah jimat tenaga....ha..ha..ha.. 2 ekor ku berjaya bawa pulang... Otai berjaya membawa seekor..... baik punya.. Padang Grus aku datang lagi......

21 Ogos 2010

Felda Papulut.

21 Ogos ... Sabtu. Aku bersama Otai Pak Ya ke Felda Papulut. Dah lama kami tak ke sana. Walau pun Felda Papulut memang terdapat banyak ketitir... namun lokasinya belum pasti... mungkin telah berubah .
Jika sebelum ini kami pasti singgah di Pekan Lawin dahulu... nasi lemak dan kopi o --- sebagai pengalas perut. Oleh kerana bulan puasa, kami terus sahaja ke Felada Papulut. Nyata banyak berubah. Jika duhulu jalan masuk ke Felda Papulut dipenuhi dengan kelapa sawit.. tapi kini sudah tiada lagi... dah diganti dengan pokok getah....itu lah tandanya dah lama tak menjengok ke laman ini. "mungkin kelapa sawit tidak mengeluarkan hasil agaknya"... kata Otai. Kami berhenti di tepi jalan... ketitir berterbangan...meratuh di atas pokok getah... 10-15 kaki tingginya.Otai terus keluarkan pikat dan memasang... kataku " kau ke kanan dan aku ke kiri jalan..." aku memilih sebatang pokok getah yang rendang. Ku naikkan pikat.... Otai juga naikkan pikat.... pikat terus berkerja.... BH mula meratuh di merata tempat. Ada yang kasar ada yang lembut. beberapa minit kemudian... BH mula menghampiri pikat.
Derak di sana.. derak di sini. Sesekali kelihatan BH meniti dahan pokak getah setinggi 12 kaki tu. Pikat ters memujuk... namun tiada yang berani hampir..... 45 minit berlalu... Otai pandang aku... " jom". Aku faham.... BH tak garang.... kami terus ke lokasi lama yang pernah kami pergi dahulu.
15 minit perjalanan kami sampai di lokasi yang dituju.Kelihatan belukar tebal... kalau seketika dahulu kawasan itu lapang dan cerah kini telah bertukar menjadi belukar. Mungkin tuannya tiada masa untuk menjaga kebun mereka. Tiada kelibat BH. Kami terus menukar lokasi.Sampai di hujung jalan utama.. aku berhentikan kereta. Kelihatan beberapa ekor BH sedang berjalan di atas jalan. di atas pokok riuh rendah dengan suara BH di merata-rata. Otai terus turun dan memasang jebak. Aku juga sama..... pikat dinaikkan....sebentar kemudian pikat terus berkerja .... 20 minit berlalu.. tiada yang berani hampir....             " Jom"... pindah ke lokasi baru. BH tidak melawan agaknya hari ini.
Di laman ke 3... kawasan semaian anak pokok getah.. kami singgah... seekor BH turun meminum air yang bertakung di dalam lopak kecil tak jauh dari tempat kami berhenti.Semalam hujan lebat agaknya. Sebab itu BH kurang garangnya. Otai terus memasang pikat. Aku juga memasang pikat. Aku memilih angga dahan pokok jati yang ditanam di tepi jalan.
    Seketika kemudian... pikatku terus berkerja. Pikat otai juga tak kurang hebatnya...BH meratuh merata-rata.Bunyinya menunjukkan banyaknya BH di kawasan itu. Beberapa minit kemudian.. seekor BH kelihatan terbang masuk ke pokok jati. Aku rasa masih baru ku naikkan pikat.Masih lambat lagi BH nak terjun. Kami berbual kosong di tepi jalan tidak jauh dari kedua-dua pikat. Aku tak peduli sangat dengan BH yang masuk. Mungkin dia perlu masa lebih lama untuk terjun.
  Sebentar kemudian ku lihat jebak ku dah mengena.... belum dengar suara. Belum dengar deraknya.... BH dah masuk jaring..... Otai gelak besar....



       Setelah BH kumasukkan ke dalam karung... aku memindahkan pikat ke pokok mangga di tepi jalan tidak jauh dari pokok pertama tadi..... tak beberapa lama kemudian.. pikat terus berkerja.... kedengaran BH berderak tidak jauh dari pikat ku. Pikat Otai belum mengena.... BH belum terjun... sedari tadi BH berada di hadapan pikatnya... tapi belum mahu terjun... berderak sambil menggelengkan kepalanya.... meniti dahan ke sana ke sini,, tapi tidak juga mahu terjun...
       Sesekali aksi pikat terganggu dengan deretan kereta yang ke hulu ke hilir. Beginilah kalau memilih lokasi berhampiran jalan utama... tapi tak mengapa... seketika sahaja.... selepas itu BH dan pikat akan terus menyambung derak mereka. 15 minit berlalu.... akhirnya BH yang semakin marah terjun juga ke jebakku. Dah dua ekor ku jaring pagi ni... Otai belum. Mungkin kerana angga yang tak begitu sesuai agaknya. Jika kebiasaanya pikatnya yang jaring dahulu... tapi pagi ni nampaknya belum lagi....
Setelah BH masuk karung.. aku pindah ke pokok ke tiga... pikat terus berkerja.... tapi tiada yang berani hampir. Aku pindah lagi ke pokok ke empat. Tiada juga yang berani.... jam dah pukul 12 th... BH makin hampir dengan pikat Otai... tapi masih juga tidak mahu terjun...akhirnya Otai hilang sabar. "Jom" aku faham... akhirnya kami pun balik dengan 2 ekor BH dalam karungku sahaja....." lain kali kita mai lagi".

Ciri-ciri titir banyak derak lihat di bahagian ini.

Pikat yang masih dalam latihan

BH 1 dan BH 2 yang berjaya dibawa balik.

Lain Diburu Lain Pula Yang Mengena.

15.08.2010... seawal pagi aku cuba hubungi Otai Pak Ya rakan sepermainan. semalam aku lupa untuk berjanji dengannya. puas aku cuba dan SMS dihantar .. tapi tak juga mendapat jawapan. Akhirnya 7.30 pagi aku bergerak ke Tawai 3.Dalam kepala dah terbayang kehebatan 2 ekor BH yang masih gagal dijaring. Walau pun berseorangan panggilan BH tetap menggamit rasa.... deroknya.... quanya.... uhhh memang terngiang-ngiang di telinga..... sapa yang belum kena bahadi titir tentu tak merasainya....
    Sampai di perkarangan pejabat Felda Tawai 3 aku rasa lega. Tiada kelibat manusia yang aku lihat. Sang ketitir bersilih ganti meratuh di atas pokok-pokok di persekitaran pejabat. Diselang seli dengan sang tekukur yang sekejap melambung guknya sekejap memerap .. sekejap menguku dengan garangnya mencari lawan. Walaupun aku minat juga dengan tekukur tetapi tak dapat mengatasi gilanya titir.
       Tanpa berlengan aku terus mengeluarkan galahku dan melangkah ke pokok durian muda angga yang cantik kegemaran BH tu. Setelah siap ku pasang jebak, galah terus ku naikkan ke tempat yang ku fikir paling cantik dan sesuai menanti BH yang culas itu.
        Beberapa minit kemudian pikatku terus berkerja. Walaupun baru dua tahun aku pelihara, tapi dia tidak pernah menghamparkan aku.Inilah pikatku yang masih dalam latihan.Beberapa minit kemudian Bh terus menerpa ke pokok durian muda itu. Meratuh dan berderak bersilih ganti. Pikatku pun apa kurangnta.... sekejap BH meniti dahan... melompat ke dahan seterusnya. semakin hampir.... pikat terus berderak... sesekali melepankan tandangnya.... BH semakin geram.... maniti ke dahan berhampiran.... pikat berderak.... lagi dan lagiiii.... BH menggeleng-gelengkan kepalanya... berderak.... lepas tandangnya.... pemikat berputaran didalam jebak... terus berderak dan menggeleng-gelengkan kepalanya.... BH masih di dahan yang sama... sekejap berderak... menggelengkan kepalanya.... 30 minit telah berlalu.... BH yang lain silih berganti meratuh di atas pokok bersebelahan..... tak berani hampir keran King ada di sana... pikat terus berkerja tanpa penat.... BH masih ditempat yang sama menggeleng-gelengkan kepalanya dan berderak silih berganti..... Otai Pak Ya call.... di tertidur lepas sahur.... ok...
      2 jam berlalu.... BH masih tidak mahu terjun.....
      Aku semakin hilang sabar.... akhirnya aku mengambil keputusan berpindah ke laman lain... aku menghampiri pokok durian muda.... BH bertempiaran larii... larilah kome.... teman dan tak larat nat tunggu...
Galah ku turunkan.... sebak dibuka dan.... aku pun masuk ke kereta bergerak ke tempat lain.....
dalam perjalanan keluar dari Felda Tawai 3 terdapat berbaris pokok.pokok yang ditanam... cantik gak angganya. Aku berhentikan kereta di tepi jalan.. terus memasang tiang dan menaikkan pikat ku.
Sebentar kemudian.... pikat terus berkerja... bahan sebentar tadi belum reda agaknya...lebih kurang 3 minit kemudian... seekor BH sampai... meratuh dan berderak suaranya sederhana sahaja... BH terus mencari pikat... lompat ke satu dahan.. terus berhadapan pikat... pikat lepaskan tandang.... BH terjun.... pantas sekali BH masuk jaring.... aku pun segera menurunkannya

Aku terus masuk kereta dan bergerak ke hadapan.... lebih kurang 300 meter aku berhenti... terus memasang dan menaikkan pikat.... pikat tidak menghamparkan.., terus berkerja..... sebentar kemudian... seekor BH jauh kedengaran... suara sederhana sahaja.... pikat terus meratuh di dalam jebak.. BH semakin hampir.... pikat kedengaran berderak tanda gu dah hampir. BH singgah di atas pelepah kelapa sawit yang behampiran sambil mencari pikat di mana. Pikat ters berderak.... BH terus menerkam .. hinggap di atas dahan berhampiran.... pikat berderok... BH meniti dahan... melompat ke dahan yang semakin hampir. BH meniti dahan.... berderok.... lepaskan tandangnya.... aku terpukau dibuatnya....berdarau darahku.... pikat lepaskan tandangnya...BH menerpa... terus ke angga... masuk ke jaring... aku menerpa.... menurunkan tiang dan dengan pantas menggenggam BH... takur terlucut.... aku belek-belek bulu dan ku kira sisiknya.... 37 rupanya... uh... hebat hari ni... lain diburu lain yang dapat...
    Aku terus bergerak ke laman ketiga..... pikat dinaikkan.... terus berkerja. BH masih jauh kedengaran. Suaranya tak begitu mencuit rasa. aku tunggu juga. Sebentar kemudian BH sampai. Singgah di atas pelepah sawit berhampiran pikat. Pikat berderak.. BH berderak... menggelengkan kepalanya. Pikat teruskan lagu pujukannya... namun BH tak juga rapat..... 20 minit berlalu... aku dah kurang semangat... terus turunkan pikat.... masuk ke kereta dan meneruskan perjalan pulang....



17 Ogos 2010

Otai Pak Ya

14.8.2010... aku terpaksa menyiapkan kerja di rumah seharain. Kalau tidak pasti ada yang beleter panjang..... Hampir masuk waktu asar baru siap kerjaku. Otai Pak Ya SMS dia ada kat PPD Gerik.  Katanya ..... burung kasar yang digilai geng Lenggong sejak beberapa lama sedang berhadapan dengan pikatnya..Aku segera menunaikan solat asar... lepas tu terus ke PPD Gerik yang tidak jauh dari rumahku.
Sampi di sana aku lihat  BH sedang rancak berderak menghadap pikat.... Pikat sekali sekala melepaskan tandangnya... BH makin marah..... makin dekat... ku hulu kehilir meniti dahan... beberapa mini kemudian... BH turjun dan mengena.. Otai gelak besar... aku tumpang sekaki... akhirnya BH yang dikejar dek geng Lenggong jatuh ke tangan Otai...

Setelah BH masuk karong, pikat diturunkan. aku mengajak Otai ke Air Panas Gerik. Ada sahabat tekukur khabarkan ada seekor BH titir sedang hebat ke hulu ke hilir mencari lawan... 9KM dari Gerik... kami sampai dah agak lewat... tiada kelibat BH yang muncul di tempat yang dikhabarkan. Namun aku dan Otai Pak Ya terus memasang pikat...... beberapa minit kemudian... pikat terus berkerja. Memanggil sesama sendiri...  namun BH tidak juga muncul.Suara ... tiada kedengaran.... kelibat jauh sekali.... akhirnya kami pun menurunkan pikat dan terus balik.... tiada BH seperti yang di khabarkan...
Walaubagaimanapun puas rasanya hari ini kerana BH yang diburu sekian lama dapat juga akhirnya.....

09 Ogos 2010

Burung wak-wak ( ruak-ruak)

Paparan ini hanyalah sebagai satu pandangan tentang warisan masyarakat melayu tradisional yang semakin pupus..

        Wak-wak atau ruak-ruak ( White-breasted waterhen )  adalah antara jenis burung yang menjadi kegemaran orang orang melayu zaman berzaman. Meskipun wak-wak adalah burung yang dilarang menangkap dan memeliharanya namun ramai orang melayu yang mewarisi ilmu berkaitan dari orang zaman dahulu sejak turun temurun memelihara burung larangan ini.
         Kemahiran dan kebijaksanaan arang-orang melayu dalam hal ehwal binatang membezakan kita dari  para pencinta dan pengkaji haiwan masyarakat barat. Pada pandanganku orang melayu lebih mahir dan bijak dalam mengenali tabiat haiwan peliharaan.Orang melayu memelihara haiwan adalah untuk memenuhi keperluan dan  kepentingan mereka kepada makanan dan hiburan.
           Orang melayu mengenali dan memahami bagaimana hendak memilih haiwan yang baik untuk dipelihara. Apakah ciri-ciri seekor burung wak-wak yang baik untuk dijadikan pemikat. Kakinya ? lututnya ? bentuk badannya? kepalanya? sauknya? paruhnya? suaranya? ragam bunyinya dan lain-lain lagi. Cubalah kita selidiki ketepatannya untuk membuktikan kecerdikan orang melayu.....


Ini adalah contoh seekor wak-wak yang baik untuk dijadikan pemikat. Jinak sekali....


Inilah contoh permainan tradisional orang melayu yang sukar untuk dilihat pada zaman mutakhir ini dek kerana undang-undang yang diwarisi dari penjajah.


            Denak yang baik adalah jenis yang rajin berbunyi memanggil gu.Ini mampu membuatkan burung hutan datang dan ingin berlaga atau berlawan dengannya. Panggilannya membuatkan BH marah dan tidak perduli dengan suasana sekeliling seperti di atas.

             Jika dikaji dari aspek psikologi manusia, permainan ruak-ruak ini adalah merupakan hobi masa lapang masyarakat dahulu kini dan akan datang. Hobi ini yang dapat mengisi masa lapang, melepaskan tekanan dalam kehidupan disamping  berusaha mengekalkan habitat kehidupan spesis ini dari tercemar dan dinodai dengan berbagai kegiatan manusia yang sentiasa berusaha mengejar kemewahan dan kemegahan tanpa memperdulikan tentang alam yang diwarisi sejak dahulu lagi.

         Diharap suatu hari nanti kebenaran akan diberikan kepada para pencinta haiwan dalam kalangan masyarakat melayu untuk memelihara haiwan yang inik ini demi menyuburkan seni warisan melayu yang diwarisi sejak zaman berzaman.

08 Ogos 2010

Jambul Bukit Kelian Selama


Pagi hari Ahad 8.8.2010 hujan turun sejak dari pagi lagi. Walaupun tidak lebat tetapi aku tidak keluar memikat seperti hari-hari minggu yang lain. Sambil rehat-rehat di rumah aku habiskan masaku bersama jambulku. Semakin galak dan semakin rajin dia berkicau.Mungkin tidak sehebat jambul-jambul yang dipertandingkan tetapi kicaunya cukup menyegarkan. Jika ada teman-teman mahu mendengar kicauannya bawalah gu dan datanglah ke rumahku. Boleh kita lihat dan dengar bersama kehebatannya.

ketitir

Pagi Sabtu 7.8.2010 yang lalu seawal 8.30 pagi aku bersama Otai Pakya ke Kg Ganda lebih kurang 40 KM dari pekan Gerik. Banyak titirnya dan memang memukaukan.Pada bulan Februari yang lalu aku dah ke sini. 3 ekor berjaya kujaringkan. 2 ekor aku berikan kepada abangku di Anak Kurau semasa balik ke kampung pada hari keesokkannya. BH Ganda memang cantik-cantik. BH yang aku berikan kepada abang Bidin kat kampung tu bila masuk sarang terus meratuh. Aku tak caya lak. Baru-baru ni aku ada balik ke kampung dan BH tu dah jadi pemikat dah dah jaring banyak ekor lah uhhh. Memang sukar nak caya 
   Setelah pikat dipasang dan galah dinaikkan, pemikat terus bekerja kuat. beberapa minit selepas itu seekor BH dijaring. Otai ketawa besar tak sempat nak dengar suara dan tengok buahnya..... namun rupanya, bulunya, paruhnya, kepalanya, matanya, ekornya dll cukup memaparkan kehebatannya.
   Selepas itu pikat dipasang lagi.Pikat terus berkerja.Namun tak ada yang berani menghampiri. Melihatkan keadaan itu aku dan Otai Pak Ya mengambil keputusan utuk berpindah.Ganda adalah kampung terakhir di laluan itu. Jadi kami berpatah baik menghala ke Gerik.
      Kami akhirnya singgah di Pejabat Felda Tawai 3. Di perkarangan pejabat itu adalah kawasan ketitir. Tapaknya bagus jika berhasil.
Otai Pak Ya memilih angga di pokok kelapa sawit di hujung bangunan. Aku memilih angga di sebatang pokok durian muda di hadapan pejabat. Hari minggu begini memang selesa memikat disini kerana pejabatnya tutup dan lengang.
Setelah pikat dipasang dan dinaikkan, maka berkerjalah dia. Tak pernah menghampakan tuannya. Beberapa minit kemudian BH bersuara kasar dan mantap muncul. Uhhh hebat siap qua angga lagi......
Namun.... Bh juga tidak mahu terjun. Lawan dari jauh sahaja...........30 minit berlalu... BH merisik bulu di hadapan jebak.... aku mula bosan..... 1 jam berlalu.... BH berderak dan menggeleng-gelengkan kepalanya seperti mula tadi.... denak meratuh.... lagi dan lagi..... denak berderak... lagi dan lagi... aku masih bersabar.. 2 jam berlalu... Otai Pak Ya buka laluan... " Jom Kita balik, lain kali kita datang semula".....aku mengikut sahaja.... tak banyak cerita... BH tak mahu terjun....

meracik tekukur


Bukan senang hendak menangkap BH. Kekadang racik tidak mengena. Kesabaran adalah kunci segalanya hingga akhirnya BH yang gah ..........
Racik yang ditahan akhirnya mengikat seekor tekukur. Namun itu bukan tekukur yang diidamkan.Ku pasang lagi racik. Kali ini dibawah pokok inai yang makin meninggi.Bunga-bunga yang gugur cukup menjadi kesukaan merbuk dan tekukur.

Kukur yang kuidamkan tergoda dengan pujukan denakku. Kemarahannya membuatkan ia masuk perangkap.Kecerdikan mengecam racik tidak  memberi kesan bila kemarahan semakin membara.Kali ini BH bermaharajalela. Denakku bijak juga berkerja. Mengacah dan memujuk. Ada kalanya mendebarkan bagaikan seekor burung yang sudah kalah dalam pertarungan. Tapi.... ia tetap hebat memerangkap BH yang kepanasan. Haa ... haa.... akhirnya.....

Kalau rezeki tu ada, ia tetap akan mengena juga.... ha...ha..idamanku...