26 Februari 2012

Surau Merah Kampung Perah.

Kampung Perah terletak tidak jauh dari pekan Gerik. Kawasan kampung ini lebih terkenal sebagai kawasan nelayan sungai kerana rata-rata penduduk di kampung yang terletak ditepi Sungai Perak ini akan ke sungai jika ada kelapangan untuk memukat atau menjala di Sungai Perak yang tekenal dengan berbagai jenis ikan sungai. Di samping ikan-ikannya yang menarik perhatian, ketitir juga tidak kurang hebatnya.
Kawasan kampung ini terdapat banyak ketitir yang bersuara kasar dan berqua tandang. Mungkin titihnya diwarisi sejak dahulu. Dah banyak ekor yang berjaya aku bawa balik dan dijadikan buah tangan untuk saudara mara dan peminat yang berkunjung ke rumahku.
Hari Ahad 26 Feb 2012 hari yang agak tenang. Cuacanya cerah tetapi nyaman. Pak Teh Mat Ali mengajak aku ke Tanah Hitam tetapi aku tidak dapat ikut kerana ada kerja yang perlu aku bereskan pada sebelah tengah hari.Khabarnya Pak Teh berjaya menjerat seekor BH yang kasar dan cukup merdu.
Oleh kerana ada sedikit kelapangan aku pun mengambil keputusan untuk ke Kampung Perah bersendirian kerana dah lama aku tak ke sana.
Aku memilih lokasi di kawasan kebun getah belakang surau merah Kg Perah. Kunamakan ia surau merah kerana surau ini bercatkan merah. Jarang ada surau dicat dengan warna merah.  Kebetulan pula sekarang ini pokok getah baru habis musim gugur dan pokoknya sedang berdaun muda. Semasa aku tiba ke lokasi ini, seekor BH kasar sekali sedang meratuh di atas pokok getah tidak jauh dari tempat aku berhenti. Aku terus memasang pikatku dan menuju sasaran.
Belum sempat aku menaikkan tiang, pikat dah mula kepanasan. berderak dan meratuh. Aku terkejar-kejar memasangnya.
video
Pikat terus sahaja berkerja. BH bersuara kasar menerpa bagai singa lapar. Meratuh dan berderak begitu kasar. Berdebar aku di buatnya. Seketika kemudian, belum sempat aku duduk kedengaran pikat dah qua berulang kali. Aku segera kesana dan mendapati seekor BH telah tersangkut di sana.Ku sangkakan BH bersuara kasar tu tetapi rupanya seekor anak BH yang menjunam.Kedengaran BH bersuara kasar meratuh di atas pokok tidak jauh dari situ. Aku segera menurunkan BH yang terjaring dan mengubah ke sebatang pokok getah lain yang tidak jauh dari situ.
Pikat terus sahaja memanggil gu. Aku bergegas dari situ.


Kedengaran BH bersuara kasar menghampiri pikatku. Meratuh dan berderak bersilih ganti. Aku memerhati dari jauh kelihatan samar-samar. Tidak lama kemudian kedengaran pikatku qua lagi. Aku yakin kali ini pasti dah mengena. Aku bergegas ke pokok getah tersebut dan kelihatan seekor BH telah terjaring lagi. Aku segera menurunkannya. Sedang aku membuka BH kedengaran suara kasar di atas pokok getah tidak jauh dari situ. Rupanya BH yang lain lagi terjun ke angga.

Aku segera menaikkan semula pikatku dengan harapan kali ini BH bersuara kasar ini akan terjun.
Pikatku terus memanggil dan tidak lama kemudian BH bersuara kasar menghampiri. Berderak dan meratuh di atas dahan bersilih ganti. Pikat makin garang namun BH hanya berderak dan meniti di atas dahan tidak jauh dari situ. Aku sabar menunggu dan menunggu. Pikat terus memujuk namun BH masih belum juga mahu rapat. Mungkin dia dah cegar dengan dua ekor BH yang keliharan sangkut di jaring sebelum ini.
Jam dah hampir ke pukul 10.30 pagi. BH masih berderak, Pikat makin garang namun ada tugas yang sedang menanti.Aku mengambil keputusan untuk menurunkan pikatku dan balik. Hati masih tidak puas walaupun telah menjaringkan dua ekor BH yang tak kurang hebatnya. Aku datang lagi lain kali...BH bersuara kasar masih terngiang-ngiang ditelingaku....

07 Februari 2012

Kampung Sawa dan Selat Pagar

Hari Ahad lepas aku memerap kat rumah sahaja sambil menonton beberapa rancangan di TV Al Hijrah sempena sambutan Hari Keputeraan Nabi Muhammad s.a.w. Aku tidak ke mana. Pada petangnya aku menghubungi Syukur untuk mengajaknya keluar memikat. Dia bersetuju dengan ajakanku.
          Selepas subuh di Masjid Gerik, pergi lepak dengan beberapa orang kawan di kedai mamak sambil pekena secawan teh tarik. Banyak cerita dibualkan dari cerita kemalangan hinggalah politik semasa. Sedar tak sedar jam dah hampir ke pukul lapan pagi. Aku teringat janjiku dengan Syukur lalu aku bergegas balik. Sampai di rumah aku terus menghubungi Syukur untuk bersiap.
Aku lalu mencapai jebak dan bergegas ke Bersia.
           Kami bertolak ke Kg Sawa. Hampir ke pukul sembilan kami tiba di lokasi. Kedengaran suara ketitir di atas bukit tidak jauh dari tempat kami berhenti. Aku dan Syukur terus bergerak memasang pikat di lokasi yang berpotensi. Kawasan ini adalah kawasan yang aku gemari. Banyak yang telah aku tawan walaupun hanya seekor sahaja yang disimpan.
            Kedengaran beberapa ekor ketitir meratuh di atas pokok kelapa tua tidak jauh dari lakasi yang kami pilih. Setelah pikat di naikkan seperti biasa mereka terus berkerja. Kelihatan seekor BH menerpa masuk berhampiran pikat Syukur.Saling berderak. Aku  memerhati dengan penuh minat. Seekor BH menghampiri pikatku. Saling berderak. Aku tidak perduli sangat kerana tidak begitu mengancam. Tiada rezeki, BH terjun ke angga tetapi penampar tidak jatuh. Aku tidak pasti mengapa. Manakala BH yang sedang berhadapan dengan pikat Syukur masih lagi berderak.
           Aku segera menuju pikatku dan menurunkannya. Aku memindahkan pikatku ke sebatang pokok durian yang tidak jauh dari tempatku duduk. Aku memilih angga yang amat kugemari dan beredar setelah pikat dinaikkan. Pikatku terus berkerja memanggil lawan.
            Tidak beberapa lama kemudian seekor BH menerpa masuk ke pokok durian itu. Berderak bersilih ganti. Melompat dan meniti dari dahan ke dahan. Tidak beberapa lama kemudia BH terjun ke angga dan berdasupppp... aku bingkas bangun untuik mengambilnya.


            Setelah menurunkan pikat dan memasukkan BH ke uncang aku bergerak ke angga baru. Syukur memberi isyarat untuk pindah kerana kurang menarik. Aku ikut sahaja. Kami bergerak menuju ke kawasan SJKC Padang Grus. Kawasan ini kawasan BH yang cantik dan boleh disimpan. Sebelum ke lokasi kami singgah di R&R Padang Grus pekena laksanya yang sedap.
Setelah perut diisi kami meneruskan perjalanan ke lokasi tersebut. Syukur memasang pikatnya berhampiran pagar sekolah. Aku memilih angga di sebatang pokok cermai yang tidak jauh dari situ.Setelah pikat dinaikkan aku bergerak ke temapt yang agak sesuai untul lepak. Namun aku berasa pelik kerana pikatku membisu. Beberapa minit kemudian aku meneliti kembali tempat aku naikkan pikat. Rupanya di situ kelihatan beberapa biji labu air yang telah kering berhantungan berhampiran pikatku. Mungkin itu yang menakutkannya.
Aku seger memindahkannya ke lokasi lain. Setelah pikat dinaikkan aku kembali ke tempat yang agak sesuai. Kedengaran pikatku mula meratuh.Aku berbuat-bual dengan Syukur. Tiba-tiba seekor BH terus menerpa masuk terus ke hadapan pikat. Pikatku berderak. BH berderak dan terus terjun ke angga. Tak sampai 2 minit bungkus seekor.


Sedang aku menguruskan pikatku, Jebak Syukur begegar dilanggar BH bersuara kasar.

Syukur sedang membelek-belek BH yang baru mengena.

          Rupanya banyak BH sedang mengeram sekarang ni. Walaupun banyak yang berderak namun tak banyak yang mau berhadapan dengan pikat. Tidak beberapa lama kemudian kami pun bergerak balik.Dalam perjalanan kami singga di kawasan balai polis Air Kala untuk meninjau. Kawasannya telah berubah dan tak banyak BH yang bermain di kawasan ini lagi. Selepas itu kami pun pulang. Cukuplah untuk hari ini.

06 Februari 2012

Tanah Hitam Sg Siput

Sungai Siput memang tempat yang mesti dikunjungi oleh para pemikat. Belum cuba belum tahu. Apa sahaja unggas yang dibawa pasti di sini lubuknya. Ayam hutan, terkukur, ketitir, jambul dan lain-lain lagi. Atas keinginan untuk merasai suasana di sana aku diajak oleh Pak Teh Mat Ali Otai ketitir Gerik untuk ke sana.
Aku bertolak dari rumah agak lewat. Lebih kurang jam 7.10 pagi aku ke Tawai mengambil Pak Teh dalam perjalanan ke tempat yang dituju. Sampai di rumahnya, Pak Teh sudah siap menunggu dengan pikat titirnya. Tanpa membuang masa kami terus bertolak ke Sungai Siput.
Aku memang tidak tahu lokasinya. Aku mengikut sahaja arahan dari Pak Teh. Kami menuju ke Tanah Hitam. Kata Pak Teh tempat itu memang banyak BH untuk dipikat.
Sampai di sebuah kawasan perkuburan cina Pak Teh menyuruh aku berhenti. Kami menurunkan pikat deperti biasa. Aku mencari lokasi yang sesuai dan Pakteh dengan angga kegemarannya.BH memang banyak di kawasan itu.Kedengaran suara ketitir meratuh di merata-rata tempat.Tanpa membuang masa aku mencari kedudukanku. Setelah pikat dinaikkan, seperti biasa dia terus berkerja.
Beberapa minit kemudian kedengaran seekor BH berderak di atas pokok berhampiran pikatku.Pikat berderak menjawab cabaran BH. Tak beberapa lama kemudian BH pun terus terjun ke angga. Aku bergegas untuk mendapatkannya.

Setelah BH dimasukkan ke uncang, aku mencari angga baru. Aku kurang berminat untuk naikkan pikat kerana tiada yang mengancam. Namun aku gagahi juga sambil menunggu Pak Teh. Aku pasti Pak Teh juga kurang berminat kerana tiada yang menarik. Mungkin yang kasar dah dipikat oleh orang lain kerana lokasi ini memang menjadi tumpuan ramai samada pemikat dari sekitar ini atau dari luar.

Sebentar kemudian kelihatan Pak Teh membimbit pikatnya dan memberi isyarat untuk ke lokasi baru. Kami terus bergerak. Kata Pak Teh ke kawasan perkuburan orang-orang kaya. Aku ikut sahaja. Tiba di lokasi berkenaan memang untuk orang kaya. Siap ada jaga lagi. Kami hanya berlegar di kawasan berhampiran sahaja kerana tidak dibenarkan masuk. Cuaca semakin panas walaupun jam baru 11 pagi.

Di lokasi ini Pak Teh mendapat habuan seekor namun kurang menarik. Pikat aku tiada yang berani hampir. Tiada hasil. Kami bergerak lagi. Kali ini aku kena lagi. Asyik menziarahi kubur cina sahaja. Namun ku ikut juga. Sampai di kawasan perkuburan ini kami seperti biasa menurunkan pikat. Entah apa nama ini tempat ini aku pun tak tahu. Sedang kami menyiapkan pikat kelihatan beberapa orang pemikat ketitir berbangsa cina lalu di hadapan kami dengan motosikal menuju ke lokasi yang kami tidak tahu. Dalam hatiku berbisik patutlah ketitir yang ada belum kedengaran lagi yang mengancam. Mungkin dah diangkut oleh mereka. Kami berpindah beberapa laman namun tidak berhasil kerna tiada yang berani. Hampir ke pukul empat petang kami pun bertolak balik dengan hanya berbekalkan seorang seekor sahaja. Inilah pengalaman pertamaku di Tanah Hitam Sungai Siput. Tunggulah cuaca lebih baik aku akan kemari lagi.