Para penggemar ketitir selalu berhadapan dengan masalah menjinakkan burung yang baru berjaya ditangkap. Burung-burung yang berjaya ditangkap kebiasaanya adalah burung-burung yang boleh dianggap hebat kerana keberaniannya berhadapan dengan pemikat yang hebat.Namun apabila burung tersebut dimasukkan ke dalam sarang untuk dipelihara, para penggemar ketitir akan menghadapi masalah kerana kebanyakkan burung yang hebat ini adalah burung yang liar.
Burung yang baru berjaya ditangkap ini kebiasaannya memerlukan masa sehingga tiga ke lima tahun untuk berjaya menjadi pemikat. Antara masalah yang dihadapi oleh penggemar ketitir ini ialah burung yang berjaya ditangkap ini tidak akan segera berbunyi. Jika berbunyi pun mungkin sebahagia besar kualiti suaranya akan hilang. Suara yang dikeluarkan cukup tidak memuaskan hati terutamanya kepada penggemar yang baharu berjinak dengan permainan ini. Suara yang kecil dan jalannya yang tidak cantik akan menyebabkan mereka akan melepaskannya kerana burung ini dianggap tidak berkualiti.Kesilapan ini tidak seharusnya berlaku jika mereka faham bahawa burung ketitir ini memang burung yang sangat lambat untuk mengeluarkan bunyi yang berkualiti seperti ketika ia dipikat di hutan.
Selain dari kualiti suaranya yang hilang, fizikalnya juga amat menyakitkan mata. Ketitir yang baik biasanya sangat liar di dalam sangkar. Ini menyebabkan ekornya akan patah dan kebanyakkan nya akan kehilangan ekornya dalam masa dua atau tiga hari dimasukkan ke dalam sarang. Selain itu ketitir yang baru ditangkap ini akan kelihatan hodoh dan tidak cantik kerana paruh dan kepalanya akan luka-luka kerana kerapnya ia menyondol untuk keluar dari sarangnya. Bahagian hujung sayanpnya juga akan membengkak dan luka-luka kerana kerapnya melanggar bilah sarangnya.Semua ini menyababkan penggemar ketitir sukakan burung yang cantik akan mudah putus asa untuk menyimpannya. Oleh sebab itu penggemar ketitir lebih suka membelinya sahaja dari penggemar lain walaupun kualiti burung tersebut tidaklah sebagus burung yang berjaya ditangkapnya.
Kepada para penggemar ketitir yang mementingkan kecantikan burung peliharaan dan kebagusan suara disini aku perturunkan sedikit petua hasil dari pengalaman belasan tahun memelihara burung ini.
Untuk membantu agar kualiti suara cepat pulih di dalam sangkar, petua menggunakan tahi kambing boleh digunakan. Selain dari penggunaan tahi kambing dalam air minuman, penggunaan kacang hijau juga amat penting untuk menjaga kesihatan burung yang baru ditangkap agar tidak menurun. Kacang dan tahi kambing digunakan agar suaranya cepat keluar dan burung cepat jinak.
Untuk memastikan kecantikan burung peliharaan agar tidak rosak beberapa perkara perlu diberi perharian iaitu;
1. Burung yang baru ditangkap hendaklah diletakkan ke dalam sangkar yang bertutup. Pastikan burung tersebut adalah burung yang benar-benar berkualiti semasa ia ditangkap agar tidak membuang masa.Sangkar burung ini ditutup dengan kain yang nipis dan berwarna gelap agar tidak terlalu panas Burung ini dimasukkan ke dalam sangkar bertutup dalam proses untuk mengajarnya makan makanan yang diberi. Sesetengah burung yang berkualiti agak sukar untuk makan makanan yang disediakan kara dia biasa makan makanan yang dikutip di atas tanah. pastikan burung ini makan agar tidak mati. Untuk menjaga kegarangannya agar tidak menurun, tambahkanlah dengan memberi kacang hijau yang dibasahkan sebanyak 40 biji( Yang aku amalkan). Kekadang proses ini menagmbil masa selama dua minggu untuk burung ini makan makanan yang diberi.
tali kaki ketitir
2. Setelah dipastikan burung ini makan makanan yang diberi, sediakan tali kaki yang dibuat khas untuk mengikatnya. Tali ini boleh dibeli di kedai burung. Setelah itu ambil burung yang telah makan tadi dan diikat kakinya. Setelah itu, cabut sayapnya dibahagian hujung sebanyak lima ke tujuh helai bulunya di sebelah kiri dan lima ke tujuh helai disebelah kanan. Kemudian letakkan dia di atas sangkar layang khas untuk ketitir yang boleh dibeli di kedai. Bulu sayap perlu dicabut agar kakinya tidak cedera akibat kekuatannya melompat dan terbang. Bulu yang dicabut ini biasanya akan kembali tumbuh dalam masa dua minggu. Jangan risaukan dengan bunyinya kerana bunyinya yang berkualiti akan cepat keluar. Setelah 3 atau 4 bulan diikat kakinya bolehlah dibuka dan dimasukkan ke dalam sangkar semula. Saudara penggemar ketitir akan dapati bulu, kepala, paruh dan kepaknya tidak akan rosak setelah dimasukkan ke dalam sangkar semula. Dalam masa dua ke tiga bulan burung ini juga akan mula berbunyi dan boleh diajar untuk memikat.
Ketitir yang baru 3 minggu ditangkap.
Saudara akan mendapati burung peliharaan saudara akan kekal cantik seperti mana ditangkap. Berikan kacang hijau yang dibasahkan sebanyak 40 biji dua kali seminggu untuk memastikan kemenjadiannya.
Sangkar layang yang sesuai untuk ketitir.
Selamat Mencuba.